Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

Sunday, April 24, 2011

Cinta di pasaraya =)


Assalamualaikum

Semalam di pasaraya. Tempat sesak, ramai sekali manusia berpusu-pusu di dalamnya. Masing-masing ada tujuan dan destinasi tersendiri. Ada yang berseorangan. Lebih ramai yang datang berpasangan. Kebanyakan daripada mereka datang berkumpulan, dengan keluarga atau teman-teman.
Matanya asyik memerhati gelagat dan telatah orang-orang yang lalu lalang. Dia selalu begitu, matanya suka memerhati. Bukan untuk mengintai aib orang tetapi dia suka melihat gelagat manusia, terutama di tempat ramai dan terbuka. Cuba menilai dan mengambil pengajaran.
Tersenyum dia melihat babak yang cukup menyentuh hatinya. Troli masih ditolaknya. Namun kakinya memperlahankan langkah. Sementara sahabatnya masih ralit memilih roti untuk dibeli. Dia pula asyik memerhati pasangan yang sedang berjalan melintasinya dari kiri.
Pasangan datuk dan nenek berjalan berpimpingan tangan, bersenda mesra. Ada bahagia pada wajah dan gerak geri mereka. 'Bahagia yang semulajadi', dia dengar suara hatinya menyakinkan. Bahagia yang bukan dibuat-buat, bahagia yang tulus dari cerminan hati keduanya.
Entah apa usikan datuk itu sehingga kedengaran tawa si nenek yang masih erat tangannya dalam genggaman. Perlahan tawa si nenek, tapi cukup membangkitkan rasa bahagia untuk mereka dan dia yang sedang 'mengintip' mereka. Ada CINTA di hati mereka. Mereka berlalu pergi. Tangan keduanya masih erat dalam genggaman. Mereka tersenyum, dan dia juga turut tersenyum. Semoga mereka terus berCINTA hingga ke syurga.
Melepaskan pandangan daripada pasangan romantik yang telah berlalu pergi, dia dikejutkan pula dengan tangisan kuat seorang kanak-kanak lelaki yang berusia dalam lingkungan lima tahun tidak jauh dari tempat dia berdiri. Anak kecil itu berlari lalu memeluk kaki seorang lelaki yang sedang berdiri berdekatannya, betul-betul di hadapannya.
Dalam esakan si anak bercerita, rupanya lelaki yang dipeluknya adalah si ayah. "Tadi terjatuh, sakit", cerita si anak dalam sedu sedan. Lalu si ayah tunduk memeluk anaknya dalam dakapan, ditepuk mesra belakang si anak, memujuk. Anak kecil itu kelihatan tenang dalam pelukan ayahnya, lalu esak tangis mengendur, perlahan. Ada CINTA di hati si ayah.
Lenguh berdiri, dia menyorong troli ke food court. Lalu dia duduk, kakinya agak lenguh kepenatan. Bertentangan dengan mejanya, sebuah keluarga sedang asyik menjamu selera. Matanya tertancap pada si kecil, perempuan berusia sekitar lima tahun, bertudung litup. Comel! Tapi wajahnya tidak kelihatan jelas, kerana si kecil menundukkan muka ke meja.
Dia perhatikan pula si kakak yang berada di sebelah adiknya, tidak jauh beza umurnya yang juga bertudung litup. Si kakak membisikkan sesuatu kepada adiknya sambil menunjuk makanan yang terhidang. Rupa-rupanya si adik sedang merajuk dan si kakak pula sedang memujuk. Sesekali si kakak berbisik lagi sambil menepuk lembut bahu si adik, memujuk tanpa putus asa. Ada CINTA di hati anak itu.
Subhanallah, indahnya CINTA. Ia ada di mana-mana. Cinta punyai kuasa yang cukup hebat, dahsyat. Cinta suami pada isteri, cinta ayah ibu kepada anak, cinta kakak kepada adik, cinta sahabat kepada sahabatnya. Banyak, luas, kaya sungguh manusia dengan cinta.
Lalu dia teringat, kisah cinta yang cukup agung. Insan ini mencintai dan merindui saudaranya yang berada di sisinya, juga yang tidak pernah Baginda jumpa. Bahkan bermula dari hidupnya, sehingga saat Baginda hampir menghembuskan nafas terakhir, masih lagi cintanya segar mekar untuk mereka yang dikasihinya.

No comments:

Post a Comment